Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Raja Arab Saudi mengejutkan dunia dengan lawatan mewahnya ke negara Indonesia. Beliau dilaporkan disertai dengan sebuah delegasi yang terdiri daripada 1,500 orang.
Selain daripada itu, laporan juga meunjukkan bahawa beliau akan menghabiskan jutaan dolar untuk menyewa hotel dan resort yang terletak di pulau Bali, Indonesia.
Raja Salman tiba di Jakarta pada hari Rabu dalam rangka lawatannya ke beberapa negara Asia. Lawatan yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan itu telahpun membawa beliau ke Malaysia sebelum ini. Beliau dan delegasinya dijangka akan turut melawat China, Jepun dan Maldives.
Raja Arab Saudi itu dilaporkan akan menghabiskan 12 hari di dalam lawatannya ke Indonesia yang merupakan negara Islam terbesar di dunia dari sudut jumlah penduduk yang beragama Islam. Lawatan ini adalah yang pertama dilakukan oleh Raja Arab Saudi ke Indonesia sejak 50 tahun yang lepas.
Raja Arab Saudi yang berusia 81 tahun itu disertai oleh 1,500 orang yang lain termasuk 10 orang menteri, 25 orang putera diraja. Mereka dilaporkan terbang ke Indonesia menerusi 38 buah penerbangan berbeza sepanjang tempoh 3 minggu.
Lawatan itu turut melibatkan penghantaran peralatan seberat 459 tan termasuk 2 buah kereta mewah dan dua unit lif elektrik ke negara Indonesia.
Menurut laporan, sejumlah 63 tan kargo milik Raja Salman akan diturunkan ke Jakarta dan bakinya akan dibawa ke pulau Bali.
Kali terkahir Raja Arab Saudi melawat Indonesia adalah pada tahun 1970 apabila Faisal bin Abdulaziz Al Saud menemui Suharto di Jakarta.
/315
2 Mac 2017 - 20:52
News ID: 815256
Raja Arab Saudi mengejutkan dunia dengan lawatan mewahnya ke negara Indonesia. Beliau dilaporkan disertai dengan sebuah delegasi yang terdiri daripada 1,500 orang.